Close
 
Kamis, 2 Oktober 2014   |   Jum'ah, 7 Dzulhijah 1435 H
Pengunjung Online : 1.420
Hari ini : 7.001
Kemarin : 22.291
Minggu kemarin : 241.277
Bulan kemarin : 802.699
Anda pengunjung ke 97.181.945
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Artikel

21 mei 2010 08:59

Menjejak Kesan Bangsa dan Bahasa Melayu Di Cape Town

Menjejak Kesan Bangsa dan Bahasa Melayu Di Cape Town

Oleh Dr. HJ. Mohd Sharifudin Yusop

Pengenalan

Berasaskan hakikat sejarah silam, status bahasa Melayu sebagai lingua franca adalah fakta yang tidak terpadam. Tatkala Nusantara dijajah silih berganti oleh kuasa-kuasa Barat, bahasa Melayu (seterusnya BM) tetap bertahan membentuk jati diri bangsa yang mendiami seluruh kepulauan Melayu. Bangsa ini tidak menjadi keportugisan, kebelandaan, mahupun keinggerisan. Tidak cukup dengan badaian bangsa-bangsa yang diyakini superior itu, Alam Melayu turut diteroka oleh bangsa-bangsa bertamadun tinggi keturunan Timur sendiri termasuk China, India dan Arab. Namun sekali lagi fakta yang jelas, bahasa Melayu tidak terbadai oleh bahasa bangsa-bangsa tersebut, malahan sebaliknya sedikit-banyak BM terbukti mampu memelayukan mereka. Ini jelas dengan wujudnya keturunan-keturunan seperti Baba, dan Chetti seperti yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Lebih menarik lagi, ada juga keturunan Arab yang menjadi raja di salah sebuah negeri. Mereka kelihatan sungguh Melayu.

Tidak cukup dengan kehebatan itu, sebilangan kecil bangsa Melayu yang dibawa ke luar daripada lingkungan buana kemelayuan mereka; sama ada sebagai kelasi dalam kapal-kapal bangsa Eropah, hamba, atau berstatus dibuang negeri kerana pelbagai alasan, telah mewujudkan pula diaspora Melayu yang menjangkau jauh merentasi seluruh pelusuk dunia. Hingga kini, diaspora Melayu wujud di benua India, benua Arab, benua Eropah, dan juga benua Afrika. Kehadiran mereka membantu membentuk masyarakat metropolitan di petempatan-petempatan tertentu di benua-benua tersebut. Dengan merujuk khusus kepada Cape Town di Afrika Selatan, perkampungan Bo-Kaap yang terletak di tengah-tengah bandaraya tersebut amat signifikan menggambarkan kehadiran etnik Melayu. Malahan generasi keturunan Melayu berjaya menempatkan diri mereka pada kelas pertengahan dalam hirarki bangsa Afrikaans.

Permulaan Citra Melayu di Cape Town

Menelusuri sejarah permulaan pembentukan diaspora Melayu di hujung benua Afrika itu, sukar untuk ditentukan tarikh paling tepat kehadiran pertama orang Melayu di sana. Hal ini kerana tidak terdapat bukti berwibawa yang dapat dirujuk. Tidak ditemui artifak, prasasti atau sebarang catatan dokumentasi yang merakamkan permulaan hijrah Melayu jauh di luar lingkungan tradisi mereka. Walau bagaimana pun kebanyakan sejarawan bersependapat bahawa penghujung abad ke-17 atau awal abad ke-18 adalah tempoh yang paling hampir menunjukkan kehadiran terawal orang Melayu di Cape Town. Kenyataan ini diasaskan kepada tempoh kewujudan perkampungan dikenali sebagai Malay Quarter yang sekarang dikenali sebagai Bo-Kaap itu. Dikatakan bahawa peneroka perkampungan itu berasal dari pulau Jawa, khususnya keturunan Betawi, pulau Bali, dan Semenanjung Tanah Melayu. Sebahagian mereka bekerja sebagai pelaut, manakala sebahagian lagi terdiri daripada pekerja (yang dianggap sebagai hamba) di ladang-ladang kepunyaan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC). Muzium Bo-Kaap yang terletak di perkampungan ini menjadi bukti kenyataan ini.

Bahasa Melayu dan Penyebaran Agama Islam

Catatan mengenai kehadiran bangsa Melayu dan BM boleh diasaskan kepada aspek penyebaran agama Islam di Cape Town. Buku Guide To The Kramats  of the Western  Cape (1996: 17-19) ada  menyatakan bahawa  pada akhir-akhir abad ke-17, orang-orang Melayu merupakan mubaligh Islam yang paling berpengaruh di sini. Bukti paling ketara ialah berdasarkan catatan yang terdapat pada salah satu keramat daripada  23 buah keramat di sekitar Cape Town; iaitu keramat Syeikh Yusuf al- Makasari. Syeikh Yusuf yang berasal dari Makasar telah dihantar (dibuang negeri) ke Tanjung Harapan pada 27 Jun 1693 kerana menentang penjajahan Belanda. Kesempatan itu telah diambil oleh Syeikh Yusuf untuk menyebarkan Islam di Cape Town. Perkampungan yang dibukanya kini dikenali sebagai Macassar dan jejaknya telah diikuti oleh mubaligh-mubaligh lain yang datang kemudian. Perkampungan ini juga akhirnya menjadi tempat perlindungan sementara bagi orang-orang Melayu yang datang kemudian.

Penyebaran agama Islam pada peringkat ini terbukti menggunakan BM sebagai salah satu bahasa pengantar  selain bahasa Arab. Hanya pada tahun 1815 bahasa Afrikaans menggantikan BM sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah agama Islam. Pada waktu itu bahasa Afrikaans mengekalkan penggunaan huruf-huruf Arab sehingga pertengahan abad ke-19. Berdasarkan penelitian  singkat yang  dibuat di The South African Cultural and History Museum, penyelidik  menemui  5  buah  manuskrip  berupa  kitab-kitab agama  yang ditulis dalam BM. Dua daripadanya mengupas  persoalan  fekah khususnya  tentang doa-doa selepas sembahyang fardhu. Pengarangnya ialah Syeikh al Faqeh  al Iman  al Alim al Arif  Billah Abu  Abdullah Muhammad Ibnu Sulaiman al Jazali. Kitab ini tamat ditulis pada tahun 1784 M (bersamaan  1199 H).

Kitab yang sebuah  lagi  pula memaparkan  kisah-kisah  Nabi  termasuklah cerita Nabi  Muhammad mengalami  peristiwa Israk  dan Mikraj, cerita Nabi  Musa, Nabi Harun  dan juga Nabi  Noh.  Sebahagian kitab ini telah hilang dan tiada halaman  yang mencatatkan nama pengarang atau tahun dan  tempat terbitnya. Walau bagaimanapun dari segi lengguk bahasanya, dapat dikatakan bahawa  kitab ini ditulis sezaman dengan kitab  yang dibincangkan terdahulu. Baki tiga  buah kitab lagi memaparkan penggunaan  bahasa Arab sebagai  bahasa pembahasan dan BM sebagai  terjemahannya.  Terjemahan dibuat baris demi  baris dan BM yang digunakan  juga ialah  BM klasik. Dua daripadanya  mencatatkan judul  iaitu Kitab Bab Ma’ rifat ul- Islam dikarang oleh Abdullah al Daif al Shariff Alwi dan sebuah lagi Kitab Maulud Syarif al Anam tanpa nama pengarang. Sebuah kitab lagi membahaskan hal-hal tauhid tanpa mencatatkan nama pengarang. Ketiga-tiga kitab tersebut juga tidak mencatatkan tahun penulisannya dan tempat diterbitkan. Namun demikian berdasarkan perbandingan bentuk BM yang digunakan, ternyata ketiga- tiganya lahir sezaman  dengan era BM klasik di Nusantara.

BM terus digunakan  khususnya  dalam  penyebaran  agama Islam sehingga awal abad ke-20. Beberapa responden  yang  berusia sekitar 60-an dan 70-an menyatakan  bahawa mereka masih ingat  tuan-tuan guru memberi kuliah  dan ceramah  agama  menggunakan  campuran  BM, bahasa  Arab dan bahasa Afrikaans. Salah satu  kesan  BM yang  bersabit  dengan  kehadiran para mubaligh Islam di  diaspora  ini  dan  kekal digunakan hingga kini antara lain ialah perkataan tuan guru (kadang-kadang dibunyikan sebagai tuang guru). Istilah ini digunakan secara  meluas  sebagai  rujukan orang yang mengajarkan  agama Islam atau orang alim dan difahami oleh semua bangsa  Afrikaan.

Penggunaan  BM  di  Mahkamah

Menurut Dr. W.F Botha dari University of Stellenbosch, berdasarkan catatan mahkamah yang dibuat pada tahun 1713, kehadiran orang Melayu dan pengaruh BM di Cape Town amat ketara. Ini dibuktikan oleh satu kes mahkamah yang membabitkan 12 orang pekerja (hamba) Melayu dari Indonesia  yang menggunakan BM dalam menyampaikan keterangan mereka. Catatan lain pula menunjukkan pada tahun 1725  seorang pesalah keturunan China juga memberikan keterangan di mahkamah menggunakan BM. Manakala pada tahun 1733, tiga pesalah keturunan yang sama turut menggunakan  BM sebagai alat komunikasi di mahkamah. Dr. Botha membuat kesimpulan bahawa BM bertahan lebih lama di Cape Town berbanding bahasa Portugis, sedangkan bangsa Portugis adalah dikatakan sebagai peneroka bandar tersebut khususnya Tanjung  Harapan  (Cape of Good Hope). Namun demikian BM mengalami kepupusan menjelang  abad ke-19  dan tidak lagi dituturkan sepenuhnya walaupun dalam kalangan mereka yang masih mengakui berketurunan Melayu. Hanya beberapa individu sahaja terutama yang sering berurusan dan berulang-alik antara Afrika Selatan - Malaysia/ Indonesia, yang  masih  boleh bertutur dalam  BM.

Penggunaan BM dalam Karya Kesusasteraan

Berasaskan penelitian terhadap beberapa buah karya  kesusasteraan tulisan  penulis Afrika Selatan, penggunaan beberapa perkataan  BM turut memperlihatkan pengaruh BM terhadap masyarakat di Cape Towh. Penyelidik  disyorkan  oleh beberapa responden yang ditemui supaya meneliti hasil karya penulis-penulis seperti  I.D. du Plessis, M. Cassiem D’Arcy dan Rayda Jacobs. I.D. du Plessis yang menyusun  Tales From The Malay Quarter (diterbitkan pada tahun 1945) menggunakan banyak kata-kata BM seperti anak, bapa, baca, bawa, bawang, merah, dukun, guru, kali,  keris, minta maaf, puji, puteri, roti, selamat jalan, selamat tinggal selendang, sembahyang, tabik, terima kasih, tongkat dan tuan.

M. Cassiem D’ Arcy, seorang doktor pakar jantung pula juga agak prolifik sebagai penulis novel. Antara novel-novelnya yang sempat diteliti ialah  The Golden Kris  (terbitan  1988) dan  Rage of the Sea Wind (terbitan 1996). Dalam The Golden Kris perkataan-perkataan BM yang ditemui ialah (keris, dukun, gamelan, terima kasih  dan tuan). Turut terdapat beberapa perkataan BM yang berasal daripada bahasa Arab seperti assalamualaikum, jin, doa, imam, janah, jihad, keramat, umi, salam dan takdir. Manakala dalam Rage of the Sea Wind pula terdapat perkataan-perkataan seperti  agar-agar, mantera, wakil, terima kasih, assalamualaikum, bismillah, doa, insyaallah, kifayat, keramat, takdir dan tasbih.

Walau bagaimanapun penelitian terhadap beberapa karya Rayda Jacobs agak mengecewakan. Walaupun beliau mengakui berketurunan Melayu dan hampir kesemua karyanya berlatarbelakangkan  masyarakat Cape Town yang berasal daripada keturunan Melayu, namun beliau menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Antara karya-karyanya yang sempat disemak ialah Eyes of the Sky (1996), The Slave Book (1998), Sachs Street (2001) dan Confessions of a Gambler (2003).

Monumen Bahasa Afrikaans 

Salah satu manifestasi sejarah yang menunjukkan kesan pengaruh BM di Cape Town ialah  The Afrikaans Languge Monument yang terletak di Paarl, Western Cape, kira-kira satu jam perjalanan dari pusat bandaraya tersebut. Mercu tanda dalam bentuk arca (yang paling tinggi ialah kira-kira 57 meter) itu diperbuat daripada batu granit yang  sangat pejal dan kukuh. Salah  satu  simbol yang dibentuk pada arca tersebut melambangkan  BM  dan budaya Melayu yang menjadi salah satu asas jati diri bangsa Afrikaans. Binaan simbol Melayu ini terletak di bahagian dinding ruang utama. Monumen ini  dibina pada tahun 1975 oleh arkitek  keturunan Belanda sebagai memperingati 100 tahun pengisytiharan bahawa bahasa Afrikaans bukan sebahagian bahasa Belanda. Monumen ini adalah satu-satunya  monumen seumpamanya di dunia. Monumen yang dijadikan salah satu daya tarik pelancongan ini tanpa prejudis memartabatkan bangsa dan bahasa yang  pernah wujud di Afrika Selatan. Monumen ini sebagai tanda pengiktirafan yang jelas  terhadap sumbangan dan peranan yang telah  mencorakkan citra bangsa dan negara itu kini. Setiap satu binaan melambangkan sumbangan dan pengaruh antarabangsa yang membina satu bangsa baru.


Petunjuk Monumen Bahasa Afrikaans

Berasaskan petunjuk di atas, clear west (bertanda A) menggambarkan bahasa-bahasa yang berasal dari Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris, manakala menara yang bertanda B iaitu magical Africa pula memperlihatkan pengaruh bahasa-bahasa Afrika terhadap bahasa Afrikaans. Bahasa-bahasa asal Afrika yang dimaksudkan termasuklah Hottentot, Koi, Xhosa, Zulu, Cape Afrikaans, Orang River Afrikaans, dan Eastern Border Afrikaans. Bahagian bertanda C pula melambangkan bridge atau jambatan yang menghubungkan Afika dengan Eropah, manakala bahagian menara tertinggi yang ditandai oleh D ialah bahasa Afrikaans itu sendiri. Mercu bertanda E adalah simbol yang menandakan tarikh pengisytiharan Republik Afrika pada tahun 1961. Bahagian binaan yang terakhir bertanda F walaupun yang paling rendah, terletak di bahagian pintu masuk utama melambangkan elemen bahasa dan budaya Melayu sebagai salah satu asas pembentukan bahasa dan budaya Afrikaans.

Bertitik–tolak daripada manifestasi monumen tersebut jelas membuktikan bahawa BM mempunyai kesan dan pengaruh yang  signifikan terhadap bangsa dan bahasa Afrikaans. Kini, bahasa  yang paling ramai penuturnya ialah bahasa Zulu (8.5 juta) dan diikuti bahasa Xhosa (6.8 juta). Bahasa  Afrikaans adalah bahasa yang ketiga paling ramai penuturnya di Afrika Selatan dengan jumlah penutur seramai  6.1 juta orang. Namun  demikian, selain bahasa  Inggeris,  hanya  bahasa Afrikaans yang  menjadi bahasa  komunikasi dalam semua urusan dan difahami oleh semua penduduk  Afrika Selatan. Ini menjadikan pengaruh BM turut  tersebar sebagai bahasa Afrikaans dan digunakan dan digunakan oleh semua orang.

Dari segi bentuk bahasa, bahasa  Afrikaans  bermula sebagai sejenis kreole yang memperlihatkan  percampuran bahasa Inggeris, Belanda, Portugis, bahasa-bahasa etnik Afrika dan BM.  Pertembungan  bahasa-bahasa ini bermula dengan penjajahan Belanda  melalui Jan van Riebeeck  pada tahun 1652. Hal ini dimeriahkan lagi oleh kedatangan para pelaut dan pedagang dari timur  dan barat, sama ada untuk singgah ataupun yang  tersadai di pantai Tanjung  Harapan  apabila kapal mereka karam dirempuh gelombang. Tidak  lama selepas kedatangan Riebeeck, Belanda mula menghantar  pekerja-pekerja (mereka selalu dirujuk sebagai hamba) khususnya dari Kepulauan Melayu untuk bekerja di ladang-ladang milik Belanda. Terdapat catatan yang menyatakan bahawa kebanyakan pekerja itu berasal dari Malaysia  yang menggunakan campuran BM dengan bahasa  Portugis. Hal ini ada kebenarannya kerana pada waktu itu Belanda sudahpun mengambil alih pentadbiran Melayu  daripada tangan Portugis. Semasa kajian ini dilakukan, beberapa orang Melayu  Cape yang ditemui  mengakui bahawa  nenek moyang  mereka ialah orang Melayu Malaysia khususnya yang berasal dari Umbai, di Melaka.

Pengaruh BM dalam Bahasa Afrikaans

Berdasarkan penelitian yang dibuat, kesan-kesan bahasa ini boleh dibahagikan kepada dua aspek yaitu penggunaan BM secara baku dan penggunaan secara  kolokial.

Kosa Kata BM sebagai Bahasa Baku Afrikaans.

Aspek ini memperlihatkan perkataan-perkataan BM yang terdapat dalam kamus Etimologiewoordeboek van Afrikaans terbitan Woordeboek Van Die Afrikaans  Taal ( WAT ), University of Stellenbosch  pada tahun  2003.  Kamus ini adalah kamus bahasa Afrikaans yang paling lengkap. Entrinya turut memberikan maklumat asal-usul perkataan yang dimasukkan dan merupakan  kamus baku bahasa Afrikaans. 

Sebuah lagi kamus yang sempat diteliti ialah The Concise Trilingual Pocket Dictionary (1988) susunan Lionel E. Jennings dan diterbitkan oleh Ad Donker Publisher, Jeppestown. Ini adalah kamus tribahasa; Afrikaans, English, dan Xhosa. Xhosa ialah bahasa peribumi Afrika selatan yang masih digunakan dan luas pengaruhnya.

Kosa Kata BM Tidak Baku

Terdapat juga perkataan-perkataan BM yang digunakan sehari-harian oleh penduduk Cape Town tanpa mengira asal keturunan atau agama mereka. Perkataan-perkataan tersebut khususnya membabitkan kata pinjaman Arab terutama yang berkaitan dengan aspek ibadat dan keagamaan seorang Muslim. Perkataan-perkataan seperti bismillah, hajj, dan salaam juga biasa digunakan oleh masyarakat bukan Islam terutama sebagai kata sapaan mesra sesama mereka atau tatkala bertemu dengan orang beragama Islam. Apabila bersua atau mahu memulakan bicara, budaya sedemikian menjadi amalan bangsa Afrikaans.

Kesimpulan

Selepas kira-kira 400 tahun, ternyata kesan kehadiran bangsa Melayu dan BM di Afrika selatan tidak mudah luntur. Walaupun kewujudannya di diaspora yang jauh terpisah dari kelompok induknya, bangsa Melayu dan BM diiktiraf sebagai bangsa dan bahasa yang berperanan membentuk bangsa dan bahasa Afrikaans seperti yang ada sekarang. Shaykh Hoosain Ebrahim dalam Journal Islamic College of Southern Africa (ICOSA) Jilid 3 Tahun 2003 mencatatkan:

“The Malays were peaceful and industrious and helped to build up the Afrikaans language. The Government had not classified them as Asiatic, but as South Africans.”

Usaha penelitian yang lebih tuntas perlu dilaksanakan untuk menentukan kelangsungan kewujudan bangsa Melayu dan BM di diaspora ini. Walaupun sedikit-banyak ciri-ciri Melayu itu sudah termaktub dalam lipatan sejarah dan didokumentasi sebagai sebahagian daripada bahasa Afrikaans, namun jaringan kemelayuan demi kelestarian budaya perlu segera dijalin demi memastikan Melayu tidak hilang dari bahagian dunia yang dikenali sebagai diaspora Melayu ini. Takkan Melayu hilang di dunia!

Bibliografi

  • Asmah Hj. Omar. 2005. Alam dan Penyebaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Ebrahim, S.H. 2003. “The Socio-political Milieu of Cape Islam in the Early 20th Century: A Potrait”,  dalam Journal Islamic College of Southern Africa (ICOSA), Jilid 3, hlm. 30.

__________

Dr. HJ. Mohd Sharifudin Yusop, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Sumber Foto: Dokumentasi www.MelayuOnline.com


Dibaca : 3.475 kali.

Tuliskan komentar Anda !