Close
 
Rabu, 23 April 2014   |   Khamis, 22 Jum. Akhir 1435 H
Pengunjung Online : 757
Hari ini : 4.334
Kemarin : 20.000
Minggu kemarin : 147.823
Bulan kemarin : 2.006.207
Anda pengunjung ke 96.626.333
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
IMAGE GALLERY
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Opini

29 mei 2008 08:24

Media Warisan Malaysia: Kajian Kes Terhadap Komunikasi Adat Dalam Majlis Perkahwinan Di Melaka

Media Warisan Malaysia: Kajian Kes Terhadap Komunikasi Adat Dalam Majlis Perkahwinan Di Melaka

Oleh : Professor Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar

Orang-orang Melayu adalah satu bangsa dari kumpulan Astronesia yang besar di benua Asia. Mereka terdiri daripada pelbagai etnik atau suku bangsa yang mempunyai warisan budaya dan ini menjadi teras dalam tamadun atau peradaban Rumpun Melayu. Suhubungan itu, orang Melayu yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Jawa, Bugis, Aceh, dan Minangkabau adalah satu rumpun Melayu yang kaya dengan warisan adat etnik serumpun berdasarkan warisan adat setempat dan berteraskan ajaran agama Islam. Bahasa Melayu yang penuh dengan keindahan dan tatacara bahasa yang mempunyai nilai dan hati budi yang halus dan penuh kesopanan yang menjadi bahan pengantar yang utama. Bahasa-bahasa etnik pula menjadi pengantar istimewa dan memperindah lagi seni budaya Melayu. Hal ini bermakna teras yang menjadikan identiti dan yang menjadi kekuatan jati diri orang Melayu serumpun adalah berdasarkan penggunaan bahasa Melayu, ajaran Islam menjadi panduan utama dan amalan warisan adat Melayu atau adat setempat dalam perjalanan kehidupan seharian.

Institusi adat Melayu serumpun memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan pemerintahan di peringkat kebangsaan, negeri atau provinsi. la dijadikan panduan berdasarkan amalan adat tempatan dan turut menjadi asas atau pegangan utama dalam menjalankan pemerintahan secara demokrasi yang banyak dipengaruhi oleh nilai­–nilai dari Barat. Pengalaman negara Indonesia yang mengekalkan institusi adat dalam pemerintahan mereka adalah satu contoh yang positif bagi menegakkan dan mengekalkan urusan budaya setempat dan dijadikan panduan dan kekuatan bagi mengimbangi perjalanan dalam sistem pemerintahan demokrasi ala Barat dengan warisan adat Melayu serumpun dan adat setempat (local).

Malaysia pula mempunyai pengalaman yang tersendiri dalam usaha memartabatkan warisan adat dan budaya Melayu dalam sistem pemerintahan demokrasi ala Barat dan perjalanan kehidupan seharian di peringkat tempatan. Sistem pemerintahan demokrasi berdasarkan Raja berpelembagaan menjadi ciri penting dalam sistem pemerintahan di Malaysia. Warisan budaya dan adat Melayu dijadikan panduan utama dan mendasari perjalanan pemerintahan berdasarkan Perlembagaan Malaysia. Memandangkan Malaysia berasal dan negeri-negeri Melayu dan berada di wilayah Kepulauan Melayu atau ‘Malay Archipelogo‘, maka warisan budaya dan adat Melayu diperuntukkan dan diterima pakai dalam Perlembagaan Malaysia dan enakmen di 14 buah negeri yang berada dalam persekutuan negara Malaysia.

Warisan budaya dan adat Melayu menjadi teras utama dalam Perlembagaan Malaysia. Institusi Raja Melayu diterima pakai dalam pemerintahan Melayu dimana Yang di-Pertuan Agong yang telah dipilih dalam kalangan sembilan Raja dan Sultan Melayu menjadi Ketua Negara di Malaysia dan Sultan dan Raja Melayu menjadi ketua di peringkat negeri. Baginda mempunyai kuasa bagi menjamin kepentingan orang Melayu terutama dalam bidang agama Islam, Bahasa Melayu dan adat budaya orang Melayu.

Orang-orang Melayu mendapat hak istimewa di negara asalnya yang dinamakan Malaysia. Warisan budaya dan adat Melayu yang bertuankan Sultan dan Raja Melayu dijamin dalam Perlembagaan Malaysia. Walaupun Perlembagaan Malaysia menjamin semua hak rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, seperti menjamin hak asasi rakyat Malaysia, namun peruntukan dalam beberapa hak keistimewaan kepada rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu diberi jaminan dan perlindungan. Berdasarkan hakikat ini, Perlembagaan Malaysia hanya mentakrifkan pengertian Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal rakyat negeri Malaysia. Orang Melayu yang diberikan keistimewaan ditakrifkan sebagai satu bangsa yang mengamalkan adat istiadat Melayu lazimnya bertutur dalam bahasa Melayu dan mereka beragama Islam (Fasal 160).

Bagi merealisasikan warisan adat dan budaya Melayu dalam sistem pemerintahan persekutuan di Malaysia dan di empat belas buah negeri di Malaysia, institusi Raja dan Sultan Melayu diperkukuhkan manakala Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (1957) diwujudkan bagi memartabatkan dan memperkembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menjadikan bahasa komunikasi dan ilmu serta mewujudkan perpaduan dan memperkukuhkan lagi pembinaan negara bangsa Malaysia. Agama Islam pula dijaga dan diperkembangkan dimana Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu di peringkat Persekutuan Malaysia serta negeri-negeri yang tidak beraja, manakala Raja dan Sultan di peringkat negeri-negeri.

Walaupun Raja dan Sultan diberi tanggungjawab mengetuai hal ehwal agama dan adat istiadat orang Melayu, namun hal yang berkaitan dengan adat istiadat orang Melayu di peringkat rakyat biasa kurang mendapat perhatian. Perhatian ditumpukan kepada perkembangan dan pengawasan terhadap agama Islam dan bahasa Melayu. Oleh itu, perkara berkaitan agama Islam Iebih diutamakan dalam enakmen-enakmen negeri, manakala hal yang berkaitan dengan adat ditumpukan kecuali enakmen yang diperuntukkan di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak yang membolehkan pembentukan Dewan Adat Melayu, Mahkamah Adat Anak Negeri dan sebagainya.

Negeri Melaka adalah salah satu contoh yang boleh dijadikan panduan, dimana institusi adat Melayu dapat diperkembangkan. Walaupun enakmen negeri Melaka tidak memperuntukkan hak yang istimewa kepada hal yang berkaitan dengan adat Melayu, namun warisan memartabatkan institusi adat Melayu Melaka tetap dijaga dan dipelihara oleh Kerajaan Negeri Melaka dalam menjalankan pemerintahan dengan mewujudkan jawatan Sidang yang diiktiraf sebagai Ketua Kampung yang bertanggungjawab dalam urusan adat istiadat Melayu dan tugas–tugas lain seperti berikut:

  1. Mentadbir budaya hidup beradat kepada anak-anak buah dan suku masing-masing dalam mukim pentadbirannya.
  2. Menyatukan suku-suku yang lain serta kaum yang berlainan kebudayaan dan agama yang berada dalam mukim untuk faedah kebajikan dan perpaduan serta keharmonian anak-anak buah.
  3. Memajukan dan mengembangkan ajaran agama Islam dan adat istiadat Melayu.
  4. Melatih, mendidik perangai dan kelakuan anak-anak buah masing­-masing kepada perangai yang baik dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
  5. Menjaga dan memperelok keadaan anak-anak buah serta memberi faedah kepada mereka.
  6. Tolong-menolong antara satu sama lain dalam sebarang perkara yang mendatangkan kebajikan kepada jawatan dan masyarakat mukim.
  7. Membantu dan menolong anak-anak buah dalam mengatasi masalah tanah, pembangunan dan kemajuan kampung serta mengatasi masalah penghapusan masyarakat termiskin dalam mukim dan lain-lain.
  8. Membantu Pejabat Daerah dan kerajaan negeri dalam menyampaikan dasar-dasar baru dan arahan-arahan yang perlu disampaikan kepada anak-anak buah.
  9. Menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menjaga dan mengawal keselamatan mukim.

Ketua Menteri Melaka merupakan ketua utama dalam melaksanakan kuasa eksekutif dalam sistem pentadbiran Negeri Melaka. Kuasa ini diperturunkan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka. Ketua Menteri dibantu oleh ahli exco yang mengetuai portfolio masing-masing dalam membuat dasar dan polisi pentadbiran.

Datuk Wira Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka merupakan ketua kepada semua kakitangan dan penjawat awam yang berkhidmat dalam jabatan kerajaan dan juga badan-badan berkanun yang wujud di Negeri Melaka. Dalam turutan, rantaian penurunan kuasa dan tanggungjawab kedudukan sidang-sidang adalah seperti berikut:

Struktur Pentadbiran Negeri Melaka


Sidang merupakan turutan yang terakhir dalam urusan pentadbiran kerajaan Negeri Melaka bagi mengatasi masalah, memajukan, membantu dan mengharmonikan kedudukan dan kestabilan sosioekonomi masyarakat di negeri Melaka.

Dalam usaha memartabatkan seni warisan budaya Melayu, ISMMA telah diberi tanggungjawab oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk memantapkan pembinaan jati diri rakyat Melaka dengan mengadakan program dan penerbitan buku secara terarah dan terancang. Antara program yang dirancangkan ialah projek memartabatkan fungsi Datuk Sidang dan Datuk Penghulu dalam memperkembangkan adat istiadat Melayu Negeri Melaka dengan mengadakan seminar dan penerbitan buku. Melaka memang terkenal dan mempunyai warisan adat perkahwinan Melayu yang berdasarkan adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Amalan ini turut diamalkan di sebahagian besar rakyat di rumpun Melayu. Umumnya, dalam proses melaksanakan adat perkahwinan, orang Melayu akan menjalan majlis adat merisik, hantar tanda, hantar belanja dan pernikahan. Biasanya pihak lelaki dan perempuan akan bertemu dan menjalankan upacara adat serta berkomunikasi dengan menggunakan ungkapan indah seperti pantun, teromba dan sebagainya.

Pantun dan teromba merupakan puisi atau warisan kata-kata ungkapan indah yang terdapat dalam masyarakat Melayu serumpun yang selalu digunakan dalam majlis-majlis rasmi seperti menyambut ketibaan pemimpin atau mengadakan sesuatu majlis perkahwinan. Mengikut tradisi adat Melayu, khususnya adat perkahwinan Melayu Melaka yang masih diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Melayu Melaka diberi tanggungjawab kepada Datuk Sidang yang dipanggil sebagai pegawai adat. Beliau akan bertanggungjawab dan menjadi rujukan serta wakil dari pihak pengantin lelaki dan perempuan berhubung dengan hal ehwal adat perkahwinan iaitu:

  1. adat merisik (biasanya diuruskan oleh keluarga terdekat)
  2. adat naik tanda ( bertunang)
  3. adat hantar belanja dan
  4. adat pernikahan dan bersanding

Sebelum upacara pernikahan, pegawai adat atau Datuk Sidang atau wakilnya akan mengendalikan hal ehwal adat perkahwinan, pegawai syarak atau imam dan wakilnya akan menjalankan upacara akad nikah mengikut hokum syarak.

Institusi adat Melayu perlu diperkembangkan dalam usaha kita membina dan memperkembangkan warisan tamadun Melayu Serumpun serta peradaban dunia. Sebagai satu institusi yang kukuh dan mantap, ia mempunyai organisasi yang tersendiri di setiap negeri, daerah, provinsi dan kabupaten di Indonesia. Umumnya organisasi adat Melayu di Rumpun Melayu diketuai oleh seorang tokoh pemimpin adat setempat yang menjadi ‘orang tua‘ yang akan memainkan peranan penting dalam usaha menghidupkan dan memartabatkan warisan adat Melayu dengan dibantu oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai tiang balai, panitia, ahli jawatankuasa, lembaga adat, buapak dan sebagainya. Perbincangan dan kesepakatan dibuat secara bermusyawarah, berhemah, bersopan santun, bahasa, pepatah petitih, pantun dan sebagainya.

Dilihat dari segi disiplin sastera dan sains sosial, institusi adat Melayu boleh dianalisis mengikut perspektif komunikasi dan media. Umumnya, disiplin komunikasi dan media tidak melihat dan menitik-beratkan serta menjustifikasikan amalan adat Melayu sebagai bahan yang istimewa untuk dilaksanakan dalam bentuk pengajian ilmu sastera dan sains sosial yang menggunakan disiplin komunikasi dan media.

Prisip dan disiplin komunikasi wajar melihat dan menitik-beratkan warisan dan institusi adat Melayu kerana ia sangat relevan dalam meletakkan warisan tamadun Melayu yang mempunyai khazanah yang tinggi nilainya dan menggambarkan kekuatan identiti dan jati diri orang-orang Melayu sebagai satu bangsa yang terbesar di dunia ini. Lebih-lebih lagi arus globalisasi dan perjuangan hak asasi dunia dari Barat berusaha menjamin hak individu tanpa mengambil kira atau berpandukan tatacara warisan adat dan budaya yang mendasari hak dan menjadi kekuatan jati diri orang-orang Melayu.

llmu komunikasi merupakan salah satu disiplin sains sosial yang lengkap dan mempunyai beberapa aspek komponen, bidang, sistem, model, teknik, sifat, fungsi dan bentuk yang boleh di implikasikan dalam penyelidikan tentang manusia, masyarakat dan budaya. Bidang komunikasi turut memberi perhatian kepada segala aspek manusia, budaya dan masyarakat seperti komunikasi sosial, komunikasi organisasi, komuniksi politik, komunikasi pembangunan, komunikasi antarabudaya, komunikasi perusahaan, komunikasi alam sekitar dan komunikasi tradisional.

Apabila kita mengkaji mengenai adat dan budaya mengenai sesuatu masyarakat dan budaya kita boleh menggunakan bidang komunikasi tradisional dan komunikasi organisasi dalam penyelidikan yang dijalankan. Bidang ini amat dilupakan oleh para penyelidik di pusat-pusat pengajian tinggi. Pengalaman dan nilai Barat serta teknologi yang berkaitan dengan media dan komunikasi zaman globalisasi ini lebih diberi keutamaan.

Kita bertanggungjawab mengimbangi penyelidikan dan pengajaran komunikasi tradisional dengan ilmu komunikasi moden dalam sistem pendidikan ilmu komunikasi dan media di negara-negara yang sedang membangun terutama di rantau Asia. Kita juga harus melihat ajaran Islam dan kepentingan nilai-nilai murni dalam warisan budaya sesuatu bangsa sebagai panduan utama dalam penyelidikan dan pengajaran dalam disiplin ilmu komunikasi dan media. Bidang komunikasi dan media tradisional sudah mulai mendapat perhatian oleh beberapa para penyelidik yang cuba mengimbangi dan melihat peri pentingnya media dan komunikasi tradisional. la sangat relevan dalam pembinaan negara bangsa dan merupakan salah satu aspek warisan bangsa yang dapat menggambarkan kekuatan identiti dan jati diri sesuatu bangsa. Oleh itu, bidang komunikasi ini sewajarnya diutamakan di pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia. Malaysia agak tertinggal dan kurang memberi perhatian dalam bidang komunikasi dan media tradisional manakala kurikulum yang berkaitan dengan media tradisional tidak dipertingkatkan atau diwajibkan kepada pelajar-­pelajar.

Bagi memulakan usaha yang murni ini, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya telah mengorak langkah dengan mengadakan kursus media warisan sebagai kursus wajib kepada pelajar-pelajar tahun dua (semester 3). Oleh itu, Jabatan Pengajian Media mempunyai dasar untuk menyeimbangkan ilmu pengajian tradisi (yang telah menjadi khazanah dan warisan seni budaya) yang sangat tinggi nilainya. Sehubungan itu, kursus yang dinamakan sebagai ‘Media Warisan‘ telah diwajibkan kepada pelajar agar mereka turut memahami ilmu media tradisi. Tujuan utama kursus ini adalah untuk pelajar memahami dan mempelajari sistem dan kaedah yang digunakan dalam media tradisi, terutama dalam menyampaikan mesej atau cara mereka berkomunikasi dengan penonton dalam sesuatu persembahan seperti boria, dikir barat, main puteri, lagu tradisi, nazam, endang dan sebagainya.

Melalui kursus ini, Jabatan Pengajian Media berharap agar pelajar akan dapat menghayati dan memanfaatkan kursus Media Warisan dengan menerapkan dalam sistem media moden, khususnya media elektronik seperti radio, televisyen, komputer dan lain-lain. Dalam dunia yang serba moden dan berfikiran global ini, kita boleh menggunakan seni persembahan tradisi seperti boria, dikir barat, nazam dan lain-lain bagi menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan lebih berkesan melalui iklan dan segala bentuk persembahan. Di samping penonton terhibur, mereka dapat menerima mesej atau pesanan melalui kaedah komunikasi lisan dan komunikasi tanpa lisan dengan lebih berkesan. Dalam konteks ini, penuntut dilatih agar berfikiran kreatif supaya mampu menghayati dan menggunakan warisan seni persembahan Malaysia dalam sistem media moden. Antara rangka kursus yang dirancang adalah seperti berikut:

  1. Pengertian sejarah dan konsep media warisan.
  2. Bentuk dan jenis media warisan Malaysia seperti drama, bangsawan, puisi, lagu, cerita rakyat, tarian dan sebagainya.
  3. Perbandingan antara media warisan di Malaysia dengan beberapa negara di alam Melayu.
  4. Kepentingan media warisan dalam sistem media moden di Malaysia.

Dalam usaha mengendalikan kursus Media Warisan, setiap penuntut dikehendaki membuat penyelidikan mengenai salah satu genre seni persembahan tradisional dan dikehendaki membuat persembahan serta mencipta lirik atau pepatah-petitih dalam bentuk yang asli dan bertemakan isu-isu semasa. Bagi memantapkan pemahaman dan implikasi media warisan kepada teknologi multimedia, satu seminar mengenai Media warisan telah diadakan sebanyak lima kali. Kertas–kertas kerja dan dua seminar yang diadakan telah diterbitkan dalam bentuk buku iaitu Media Warisan Malaysia (1999) dan Media Warisan Malaysia: Komunikasi Melalui Puisi dan Gendang (2001).

_____________________

Professor Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, merupakan pengajar di Jabatan Pengajian Media [Department of Media Studies], Faculty of Arts and Social Science, Universiti Malaya. Seluruh pendidikannya, BA hingga PhD, di Universiti Malaya. Kertaskerja ini dipresentasikan pada “Seminar Internasional Indonesia-Malaysia Update 2008” anjuran Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta [Indonesia] yang bekerjasama dengan Universiti Malaya, Kuala Lumpur [Malaysia] pada 27 Mei 2008 di Gedung Pascasarjana UGM, Yogyakarta.

Kredit foto : www.jejakkeluarga.dkays.com


Dibaca : 7.779 kali.

Tuliskan komentar Anda !